Sunday, October 18, 2009

KERETA PERTAMA


Tadi aku cuba cari gambar kereta pertama yang pernah aku miliki. Cari punya cari, ada la gambar tu dalam frame. Aku cuba buka gambar tu tapi dah melekat dengan kacanya. Kalau aku buka juga, gambar tu akan rosak. Akhirnya aku tangkap gambar tu semula dengan frame2nya sekali. Ok la juga.

Memang gambar tu cukup lama dalam frame tu. Tengok la gambar anak lelaki sulong aku tu, masih kecil sedangkan sekarang telah berusia 12 tahun. Mungkin gambar tu telah berada dalam frame tu selama 7 atau 8 tahun. Latar gambar tu di rumah sewa sebelum dapat kuarters guru iaitu rumah panjang kampung Pasir Wardieburn. Sekarang semua penghuni telah dipindahkan ke PPR DBKL. Duduk di rumah panjang akan aku kisahkan pada topik yang lain.

Jadi, inilah kereta pertama aku. Selepas aku part time cuci kereta selama 6 bulan, tambah dengan duit simpanan kerja kilang dulu dan dibantu sikit duit isteri yang pernah sama2 kerja kilang dulu, dapatlah aku memiliki sebuah kereta. Kereta pertama ni amat besar ertinya pada aku masa tu. Namun akhirnya, aku telah jual kereta ni pada tahun 2001 tak silap aku, kepada seorang pegawai Felda di kampong untuk kegunaan isterinya seorang guru berulang alik ke tempat kerja. Itupun selepas aku beli sebuah kereta yang lain.

Sekali sekala bila aku balik ke kampong, aku cuba tinjau atau ronda2 pada waktu petang di kawasan perumahan pegawai Felda, dengan harapan boleh tengok kereta yang banyak berjasa pada aku ni. Menurut cerita ayah aku, pemilik baru ni telah ‘bikin’ bagi cantik lagi. Tapi itu dahulu. Sekarang aku tak pasti kereta ni masih ada lagi atau tidak. Kalau masih bergerak lagi di jalanraya, maka usianya telah menjangkau 23 tahun.

Kereta ni keluaran tahun 1984 jenis Toyota Starlet 1.3. Satu kenangan yang klasik semasa aku menggunakan. Inilah juga kereta yang aku gunakan untuk berniaga di bazaar Ramadhan pada tahun 2000. Masa tu, Ramadhan jatuh penuh dalam cuti sekolah hujung tahun. Memang masa tu ramai guru2 mengambil kesempatan berniaga di bazaar ramadhan. Itu aku akan cerita dalam topik yang lain. Ini pun ada kisah yang menarik.

Inilah satu kisah sebabak dalam hidup aku. Memang banyak pengalaman yang bila aku kenang2kan, rasa macam mimpi. Moral ceritanya, kalau kita nakkan sesuatu, InsyaAllah kita akan dapat kalau kita usahakan dan tawakal.

No comments:

Post a Comment