Friday, December 11, 2009

GURU JADI KERANI SEKOLAH?

(Artikel ini diambil dari ruangan forum Utusan Malaysia bertarikh 10 disember 2009 tanpa sebarang suntingan dan perubahan)

SAYA merujuk maklum balas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Alimuddin Md. Dom terhadap tulisan saya di Forum Utusan Malaysia yang bertajuk Erti Sebenar Guru Cemerlang.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana barangkali saya tidak menulis secara jelas tentang apa yang saya maksudkan dengan beban kerja perkeranian dalam tulisan itu. Biar saya jelaskan lebih lanjut tentang ‘beban kerja perkeranian’.

Contoh pertama: Tugas guru kebajikan dan biasiswa. Saya berpendapat, semua guru, terutama sekali guru tingkatan ialah guru kebajikan. Sebab itulah banyak hal peribadi murid yang mengganggu pembelajaran mereka ada dalam pengetahuan guru. Ibu bapa bercerai, ibu bapa bergaduh, ayah dibuang kerja, ibu lari dari rumah, semuanya diadukan kepada guru. Itu tak mengapa. Jika sedikit tepukan di bahu dan mengesat air mata murid boleh membantu mereka belajar, saya fikir tiada guru yang merungut.

Tetapi guru biasiswa, lain pula ceritanya. Mereka perlu membuat salinan borang, mengedarkan borang, mengutip semula borang dan memastikan semua borang diisi dengan betul, termasuk memastikan semua salinan dokumen sokongan lengkap, seperti salinan kad pengenalan dan sebagainya. Sebelum semua ini bermula, mereka perlu mencari murid yang miskin untuk diberi bantuan biasiswa. Ada banyak jenis biasiswa untuk murid sekolah dan semuanya ada syarat layak yang tertentu, tetapi secara umumnya murid yang keluarganya mempunyai pendapatan kurang daripada seribu ringgit sebulan, layak mendapat bantuan.

Soalnya, tidak bolehkah kerja mengenal pasti murid dan semua ‘kerja-kerja kertas’ itu dibuat oleh kerani? Apa kaitan pengurusan biasiswa yang banyak melibatkan kertas itu dengan kerja guru yang sebenar, iaitu P&P?

Contoh kedua: Saya fikir hampir semua guru sedar bahawa bagi orang-orang politik, semua masalah sosial negara perlu diselesaikan di sekolah. Benar, sekolah memang tempat mendidik, tapi apakah setiap kali ada masalah kita hendak buat satu persatuan atau kelab baru. Tugas guru ialah mendidik murid membezakan apa yang salah dan apa yang betul dan kita mengajar mereka supaya berfikir sendiri. Kita tidak boleh sebut satu-satu ‘merempit salah’, ‘hisap dadah salah’ atau ‘mencuri salah’, kerana ada terlalu banyak kerja jahat dalam dunia ini. Kita perlu ajar murid berfikir sendiri.

Tetapi apabila kita menghadapi masalah mengatasi jenayah, guru diminta membuat satu kelab antijenayah. Bila ada masalah dadah pula, kita buat pula kelab antidadah, seolah-olah masalah dadah bukan jenayah yang tidak boleh digabung dengan antijenayah. Kemudian kita dapati murid kita tidak sayang kepada negara, kita buat pula kelab kenegaraan, seolah-olah Persatuan Sejarah sudah gagal. Kita boleh buat 100persatuan dan kelab pun mengikut kehendak masyarakat luar, tetapi siapa yang hendak membuat kerjanya? Mengadakan persatuan bukan semata-mata berkumpul dan membuat aktiviti. Guru perlu menyiapkan laporan, mendaftar persatuan, mengambil gambar, membuat perancangan tahunan. Ini semua ‘kerja-kerja kertas’. Mengapa tidak boleh hantar pegawai polis atau pegawai dari Biro Tata Negara (BTN) datang menguruskan persatuan ini di sekolah? Datanglah setiap hari Sabtu misalnya, untuk aktiviti ini.

Contoh ketiga: Guru data. Tugas guru ini ialah merekodkan hal perjawatan guru, misalnya, tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh temuduga, tarikh sah jawatan, tangga gaji, kursus dan sebagainya. Oleh kerana tugas merekod ini berat, maka guru-guru Data biasanya dikurangkan waktu mengajar, kepada 12 hingga 15 waktu daripada biasanya 25-29 waktu untuk guru-guru lain (setiap waktu ialah 40 minit di sekolah menengah dan 30 minit di sekolah rendah). Masalahnya, guru-guru data ini merekodkan perkara yang Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran sudah tahu, contohnya, tarikh-tarikh penting seperti tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh sah jawatan. Bukankah surat datang dari SPP?

Contoh keempat: Guru tingkatan. Guru tingkatan ialah antara orang yang paling sakit kepala di sekolah kerana semua guru-guru lain bekerja melalui guru tingkatan. Guru biasiswa hendak edar borang, suruh guru tingkatan. Sekolah hendak cuti, guru tingkatan perlu edar surat. Guru SPBT hendak edar buku teks, guru tingkatan perlu uruskan. Murid kemalangan, hendak mohon insurans, guru tingkatan juga perlu uruskan. Guru Penolong Kanan kokurikulum hendak maklumat kokurikulum murid, pun suruh guru tingkatan, bukan suruh guru persatuan atau kelab. Murid tidak datang sekolah, guru tingkatan perlu hantar surat amaran. Kelas tak ada penyapu, pun guru tingkatan kena belikan. Kadang-kadang kalau kelas kotor, cikgulah yang kena menyapu walaupun sekolah ada tukang sapu swasta. Kalau pegang kelas baik, tak apa. Tapi kalau dapat kelas belakang, memang guru boleh kena serangan jantung.

Sekarang ini syukurlah kita ada sistem online yang mengumpul data peribadi murid yang kita panggil Sistem Maklumat Murid (SMM). Seorang guru dilantik menjaga SMM ini. Jika guru data menjaga maklumat guru, guru SMM menjaga maklumat murid. Tetapi, walaupun SMM sudah ada, guru tingkatan masih perlu mengisi kad 001. Untuk apa, saya pun tidak tahu. Setiap tahun, guru yang memegang kelas tingkatan 1 perlu menyiapkan kad 001 seawal bulan Februari atau Mac. Tetapi selepas itu tiada siapa yang hendak mengurus kad 001 itu, sebab hampir semua keperluan maklumat murid akan diambil dari SMM. Jika kita ada setengah juta murid baru masuk ke tingkatan satu, ada setengah juta lagi murid baru masuk darjah satu. Jika harga kad 001 itu satu ringgit, kita membelanjakan satu juta ringgit untuk kad 001 yang tidak digunakan pun.

Ini duit siapa satu juta ini? Dan hal menguruskan kad 001 itu, tenaga siapa kalau bukan guru?

Contoh kelima: Guru perabot. Bila ada masalah perabot sekolah, guru ini kerjanya mengangkut kerusi meja yang rosak dan mengira berapa banyak perlu dihapuskan, berapa banyak perlu mohon yang baru, dan berapa banyak boleh dibaiki. Adakah semua ini membantu murid meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah sebagaimana disebut oleh KPPM dalam tulisannya? Barangkali KPPM tidak pernah nampak rupa guru bermandi peluh turun naik tangga mengangkut perabot, ada yang ringan, ada yang berat. Saya pernah nampak; macam buruh yang kerja membuat bangunan.

Saya tidak nafi, di luar negara pun amalannya ialah melantik guru akademik membuat kerja pentadbiran. Tapi berapa banyak kerja pentadbiran yang mereka ada? Adakah sampai memakan masa 70-80% masa kerja? Saya pernah melawat sekolah di luar negara, dan Guru Besar mereka pun mengajar hampir separuh daripada masa kerja dan membuat kajian tindakan. Adakah Guru Besar dan Pengetua kita membuat kajian tindakan? Setahu saya, hanya negeri Johor mewajibkan semua guru membuat kajian tindakan, itupun ramai yang membuat kajian ‘depan komputer’ kerana kesuntukan masa.

Akuilah, kerja pentadbiran memang sudah mengganggu tugas hakiki guru kita. Kalau tidak mengapa Menteri Pelajaran sejak Datuk Hishamuddin bercakap tentang beban kerja guru?

Mengapa Menteri Pelajaran pernah menyebut tentang institut latihan guru sukan, supaya guru akademik tidak perlu lagi membuat tugasan kokurikulum, sebagai usaha mengurangkan beban kerja guru?

Adakah Menteri Pelajaran tanpa latar belakang pendidikan lebih sedar hakikat di sekolah berbanding KPPM yang pernah menjadi guru? dan mengapa perlu ada Standard Guru Malaysia (SGM) jika kita sudah ada Tonggak 12, kalau bukan kerana guru kita sudah terpesong dari apa yang digariskan dalam Tonggak 12, dek kerana kerja-kerja perkeranian ini? Atau adakah SGM dibuat supaya lebih banyak ‘kerja-kerja kertas’ dibuat oleh guru

Monday, December 7, 2009

GURU BUKAN SEKADAR MENDIDIK

(Artikel ini diambil dari ruangan forum Utusan Malaysia bertarikh 7 Disember 2009 tanpa sebarang suntingan atau perubahan)

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia 3 Disember 2009 bertajuk Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran: Erti sebenar guru cemerlang.

Kenyataan 'Guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua atau guru besar mereka', adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.

Kenyataan Akmal Fairuz dalam Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.

Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga.

Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid.

Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlet muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid.

Oleh itu, latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua atau guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa.

Guru mempunyai kelebihan daripada aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak atau remaja dan kepakaran dalam pedagogi.

Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.

Berkaitan dengan pandangan Akmal Fairuz bahawa guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan.

Tidak salah guru berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua atau Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.

Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat, selaras dengan gagasan '1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sunday, December 6, 2009

ALAHAI GURU!



Respon pada sebuah artikel yang disiarkan dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009.

Lihatlah sendiri pada gambar yang aku postkan ni. Dan korang nilai dan ulaslah sendiri.

Gambar ni aku ambil secara kebetulan, aku lalu di kelas dan terlihatlah seorang guru yang juga kawan baik aku sedang memanjat meja atau kerusi untuk membetulkan dan menyemak LCD. Kebetulan guru ni adalah guru yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga inventori bahan2 dan alatan2 yang bersangkutan dengan ETEMS.

Ini baru salah satu tugas dalam pelbagai lagi tugas guru. Guru perempuan. Kalau guru lelaki macam aku, bancuh simen pun aku pernah buat. Kodin, kau nilai dan tafsirkanlah sendiri.

Apa2pun, aku cukup bangga jadi seorang guru

Saturday, December 5, 2009

ERTI SEBENAR GURU CEMERLANG

(Artikel ini diambil dari ruangan forum Utusan Malaysia bertarikh 3 Disember 2009 tanpa sebarang suntingan atau perubahan)

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.
Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

Tuesday, November 24, 2009

PENGAWAS


Teringat dulu masa di sekolah menengah. Sesiapa yang menjadi pengawas akan digelar dengan bermacam2 gelaran yang kurang menyenangkan. Sebabnya adalah mudah. Pengawas merupakan polis di sekolah yang akan melaporkan segala kesalahan yang dilakukan oleh warga murid kepada guru disiplin.

Gelaran yang diberi antaranya talibarut, balaci dan sebagainya. Dan selalunya pengawas berada dalam situasi yang kurang memberi kelebihan dan tersepit antara rakan dan peraturan yang perlu dikuatkuasakan. Dan selalunya rakan menjadi dominan supaya pengawas2 ni menjadi orang yang boleh dipercayai.

Mungkin di sekolah rendah situasinya tidaklah seburuk sekolah menengah. Namun pada masa kini, pengawas yang mendapat ugutan dari rakan2 dan terpaksa menutup mata atas kesalahan yang dilihat sudah menjadi perkara biasa. Guru2 di sekolah menengah terutamanya guru disiplin juga menghadapi pelbagai risiko dalam menegakkan peraturan sekolah. Kes2 ugutan dari pelajar, ibubapa pelajar, saman dan sebagainya sudah tidak menjadi taboo pada masa kini.

Adakah kes2 menyaman guru oleh pelajar dan ibu bapa pelajar ini menjadi trend dalam dunia pendidikan pada masa kini yang selalunya hanya melibatkan orang berkepentingan dalam politik. Budaya orang2 politik ini sudah meresap dalam dunia pendidikan yang sepatutnya bersih dari sebarang ugutan. Tambah2 yang diugut dan hendak disaman itu adalah orang yang bertanggungjawab memberi ilmu kepada anak2 kita.

Sunday, November 22, 2009

OUM


Semalam 21 November 2009 secara rasminya tamatlah kelas tutorial aku dalam PJJ KPM-OUM. Hampir 4 tahun aku bergelumang dengan buku, tugasan, dan kelas akhirnya aku dapat juga selesaikan ketiga2 perkara tersebut. Cuma peperiksaan je yang belum habis sebab ada lagi 3 subjek peperiksaan pada pertengahan Disember nanti lepas raya Haji. Peperiksaan subjek terakhir pada 16 Disember. Lepas tu bolehlah aku lepaskan jeritan.

Dalam usia yang semakin meningkat, dengan kesibukan hal2 sekolah dan kesibukan hal2 keluarga, hal2 kampung dan sebagainya, bukan satu tugas yang mudah. Kekadang tu aku perlu pilih satu perkara untuk tiga perkara yang perlu dilakukan dalam satu masa yang sama. Dan berlakulah pertindihan yang kekadang melukakan hati dan perasaan.

Semua itu perlu dihadapi dengan bijak macam menarik rambut dalam tepung. kekadang terlepas juga keluhan yang melukakan hati dan perasaan orang lain. Baik keluarga sendiri, rakan sekerja dan sebagainya. Apa2 pun aku ucapkan terima kasih kepada semua insan yang memahami aku samada keluarga dan rakan-rakan.

Saturday, November 21, 2009

ISTANA BUDAYA




Pertama kali aku menonton persembahan di Istana Budaya amat mengagumkan. Persembahan pentas bertaraf dunia membuatkan penonton yang pertama kali masuk ke sini macam aku merasa kehebatannya. Latar pentasnya cukup hebat. Lihatlah tiga latar yang berbeza.Memang berbaloi kalau mengeluarkan lebih sedikit nilai wang kita untuk menonton sebarang persembahan di sini

Tapi biasalah, orang macam aku kalau ada yang sponsor barulah berpeluang masuk ke sini. Aku berpeluang masuk ke sini sebab Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur menjadi tuan rumah untuk program RIMUP kebangsaan. Jadi dapatlah aku masuk free.

Tapi apa yang aku nak bagitau ialah memang syok kalau dapat menonton persembahan di sini...

Thursday, November 19, 2009

LAMAN SK SETAPAK INDAH



Paparan yang terdapat pada laman SKSI yang menarik perhatian aku. Pertamanya ialah sekolah ini adalah perintis atau sekolah yang pertama di Malaysia menubuhkan Tunas Kadet Remaja Sekolah yang abangnyanya adalah Kadet Remaja sekolah di sekolah2 menengah.Antara catatan yang terdapat dalam laman....

(Sejarah Penubuhan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Bermula di Sekolah Ini.
Tunas Kadet Remaja Sekolah ( TKRS ) telah mula diasaskan pada 15 Mac 1999. Sekolah yang menjadi sekolah pertama (perintis ) menubuhkan TKRS ialah Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Kuala Lumpur yang sekarang ini dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Setapak Indah. Tunas Kadet Remaja Sekolah ditubuhkan oleh En. Wan Mohd. Ariffin bin Wan Hussin khas untuk murid-murid sekolah rendah seperti mana Kadet Remaja Sekolah untuk pelajar-pelajar sekolah menengah sahaja.Penubuhan Tunas Kadet Remaja Sekolah secara rasminya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran YB Dato’ Noh b. Omar di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah Darul Aman pada 26 Mac 2006.)


Paparan kedua yang menarik perhatian aku ialah catatan yang menunjukkan guru2 perintis semasa sekolah ini baru2 dibuka. Daripada 60 orang guru yang asal, hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi yang masih terus menabur bakti. Aku salah seorang daripadanya. Sekarang sekolah ini mempunyai lebih 80 orang guru dan kakitangan sekolah. Teruskan dengan kecemerlanganmu wahai warga SK Setapak Indah....

Monday, November 16, 2009

TUGAS TETAP




Inilah antara tugas tetap dan berpencen aku semasa berkhimat di Sk Setapak Indah. Menjaga siaraya atau nama sedapnya pegawai teknikal siaraya. Rizal kawan aku tu adalah master dalam bilik siaraya. Aku hanya pembantu saja. Bilik siaraya ni asalnya adalah tandas dewan yang diambil untuk dijadikan bilik operasi.

Gambar yang diambil ni adalah suasana sekitar Hari Anugerah Cemerlang. Adalah dua tiga orang bekas anak murid yang mengiringi adiknya. Ada yang masih kekal dengan perwatakan dahulu dan ada juga yang dah berpusing 50 darjah.

Pada hari tu sekolah menjemput setiausaha kepada Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri. OK juga ucapan perasmiannya. Banyak menyentuh tentang sikap dan hala tuju pendidikan. Ibu bapa pun ramai yang hadir. Semua berjalan cantik. Selepas habis program, kami pergi makan di Restoran Nelayan Tasik Titiwangsa. Ye yeah...

Sunday, November 15, 2009

NOSTALGIA YG BAKAL DITINGGALKAN




Sekolah yang mungkin bakal aku tinggalkan pada tahun hadapan. Disempadani dengan kawasan tanah perkuburan, PPR DBKL Gombak Setia, SMK Setapak Indah dan Taman Setapak Indah. Juga terlihat dari jauh gunung Melawati yang indah.

Bila aku dah habis memberi pengajaran dan murid2 sedang membuat latihan, aku biasanya akan menjenguk ke luar tingkap dan.... selalunya banyak yang aku fikirkan. Semalam yang telah ditinggalkan, hari ini yang sedang dilalui dan hari esok yang belum pasti..

Sekolah yang banyak berjasa kepada aku dan dalam masa yang sama banyak juga menerima sentuhan tangan dari aku. Maksud aku kerja2 lanskap taman pada mula2 sekolah ini dibuka. Semoga sekolah ini akan terus berjasa kepada warganya, murid-murid dan guru-guru.

Tuesday, November 10, 2009

MANA PILIHAN AKU?




Kekadang aku keliru, manakah hala tuju aku suatu ketika nanti. Mungkin andaian ini selepas usia semakin meningkat. Aku memang selalu berimaginasi dan berangan. Sebab itu ada rakan aku semasa belajar di sekolah menengah dulu mengatakan aku suka mengelamun atau berkhayal. Tabiat ini masih lagi bersisa hingga ke hari ini.

Kekadang ada terfikir, nak balik bertukar ke kampung dan menetap terus di sana.Diselangi dengan bertani atau menternak haiwan. Dan terus jadi penternak atau peladang jaya. Ha ha, memang kelakar. Aku rasa faktor masa dan usia tak memungkinkan aku mencipta peluang itu. Ada ketikanya pula aku merasakan seronok dan mesti terus berada di metropolitan. Jadi penghuni yang terus mengekori rapat segala kemudahan sebuah kota metropolitan. Kehendak dan khayalan ini terus bersilih ganti tanpa apa2 keputusan yang konkrit.

Kalau anjang atau rakan2 yang telah berkhidmat dari mula lagi di kampung, mungkin tidak perlukan sebarang pilihan, selain terus melayari perjalanan hidup di desa atau luar bandar. Sudah pastinya sudah tetap hala tuju dan strategi masing2. Aku pula masih terawang2. Kota atau desa. Desa atau kota. Akhirnya khayalan aku terputus macam tu saja tanpa apa2 keputusan.....

RUMAH PUSAKA ATUK (2)


Ini rumah nenek aku kat Chikus dilihat dari google satellite. Nampak macam prairie kat USA. Tapi itu hanyalah pandangan sawah padi yang baru dipotong. Nampak cantik kan. Luas mata memandang. Teringat masa kecik2 selalulah bermain dengan selut dan lumpur di sawah padi.

Sekarang kalau nak main lumpur boleh lagi sebab rumah pak mentua aku merupakan perkampungan sawah padi di seberang Perak.....

Thursday, November 5, 2009

KAMPUNG SEGI TIGA EMAS



Masih lagi berkisar tentang Kg Baru Kuala Lumpur. Dalam aku duk termenung dan memerhati KLCC dari belakang kediaman aku, tiba2 tumpuan aku tertumpu pada sepohon mempelam yang terletak di tepi Jalan Raja Muda Abdul Aziz. Betul2 terletak berhampiran perhentian bas. Tak pasti siapa yang tanam dan siapa empunya pokok sebab terletak di bahu jalan. Mungkin pemiliknya tuan tanah yang berhampiran.

Satu lagi yang menarik perhatian aku ialah sepohon durian dan pelbagai lagi tanaman yang terletak selari dengan pandangan aku ke KLCC. Yang ini sudah pasti empunyanya sebab dalam kawasan lot kediaman.

Sebenarnya banyak lagi pohon atau tanaman buah2an yang terdapat di sebuah kampong (kalau boleh di sebut kampung) yang terletak di tengah2 pusat Bandar. Pokok pisang, belimbing, kelapa, serai, kunyit dan sebagainya merupakan tanaman yang boleh kita dapati di sini. Tanah lot kediaman di sini amat luas dalam konteks pusat Bandar. Dan harganya mencecah jutaan ringgit bagi setiap lot.

Persoalannya di sini, siapa kata orang bandar tak ada pokok durian. Lihatlah buktinya di atas….

Monday, November 2, 2009

WAJAH BARU




Hampir tiga minggu aku tidak beriadah pada waktu petang. Selalunya setiap petang aku bermain tenis dengan rakan2 guru Kuarters Pendidikan di gelanggang tenis kepunyaan SK Jalan Raja Muda. Puncanya ialah pembaikan gelanggang tenis yang dilakukan di bawah peruntukan sekolah. Sekolah ni satu pagar dengan kediaman kitorang. Anak2 pun semua belajar di sini.

Seminggu sekali sahaja aku bermain di gelanggang tenis Taman Tasik Titiwangsa pada waktu malam. Itu tidak memadai kerana aku biasa bermain setiap petang. Maka,kitorang melangutlah atau seperti ayam berak kapur pada setiap petang sementara menunggu projek siap. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Mungkin dalam dua atau tiga hari ni, dapatlah kami menggunakan gelanggang baru itu dengan keizinan pihak sekolah.

Kalau ikut kadar sewaan gelanggang tenis kepunyaan DBKL pada waktu siang satu jam RM6 dan waktu malam satu jam RM10. Tapi kami dapat bermain di gelanggang ini secara percuma. Itulah, betapa beruntungnya warga pendidikan. Harap2 kami dapat terus menjalin hubungan yang baik dengan pentadbir sekolah ni.

Gelanggang ni mendapat pagar baru yang dahulunya berlubang2, lantai yang retak di baiki semula, warna lantai yang luntur dicat semula mengikut standard gelanggang tenis yang lebih jelas dan pokok yang rimbun dicantas dan ditebang. Gambar2 di atas aku shoot dari balkoni depan kediaman aku. Sekolah ni berlatarkan hotel Grand Season dan bangunan UMNO sayup2 kat belakang.

Sunday, November 1, 2009

BUMI PERMATA (2)


Gambar semasa darjah empat SK Besout 1 yang mengingatkan aku pada rakan-rakan lama. Sudah tentu masa tu berumur 10 tahun. Kini semua yang ada dalam gambar tu berusia hampir 39 tahun. Sesekali apabila musim perayaan ada juga wajah2 yang masih kuingat dan ingin ku tegur tetapi rasa was2 menyebabkan aku membatalkan hasrat itu.

Kalau rakan lelaki mungkin lebih mudah, tetapi tidak bagi rakan wanita. Lebih2 lagi aku dah tak berapa cam lagi wajah rakan wanita. Maklumlah dahulu kitorang masih budak berhingus. Kini mungkin faktor usia dan kemodenan hidup yang melapisi wajah hingga sukar untuk ditelah, siapakah gerangan walaupun ada iras2 rakan lama.

Itu semua menjadi memori yang sangat mengusik kalbu. Apa khabar agaknya rakan2 yang ada dalam gambar itu. Kalau bertembung di Kuala Lumpur mungkin tidak terasa bahawa kita pernah duduk sebumbung membaca, mengira dan menulis. Cuma guru itu masih aku ingat namanya kalau tak silap cikgu Mohd Khir. Apa khabar agaknya cikgu ini. Adakah masih mengajar atau dah berpencen? Kalau masih mengajar pun pasti menjawat jawatan penolong kanan atau gurubesar.

Inilah guru yang gigih kerana sanggup mengajar di sebuah sekolah pedalaman yang jauh dan terletak dipinggir hutan dan ladang kelapa sawit ketika itu. Kalau ada rakan2 yang tersesat ke dalam blog ini dan merasakan dirinya ada dalam gambar di atas silalah bertanya khabar dan tinggalkan pesan di sebelah. Kita adalah anak bumi permata…..

Thursday, October 29, 2009

PROMOSI


Kepada pengunjung yang ingin menyertai peraduan sempena setahun anjang blog silalah ke blog anjang. Links ada kat sebelah, untuk maklumat lanjut.

Wednesday, October 28, 2009

JAMBATAN GANTUNG



Sebagai seorang guru, amatlah menyedihkan apabila mendengar berita tentang jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar, Perak yang menyebabkan ramai nyawa terkorban. Maka pelbagai reaksi dan komen dapat kita dengar dan baca setiap hari di media massa setiap hari. Guru tak menjaga keselamatan murid, murid menghenjut jambatan dan pelbagai lagi reaksi spontan yang kadang2 nampak macam #@*&%!...

Bayangkan tiang sebuah jambatan gantung boleh terbongkah tapak tiangnya hanya dengan henjutan 20 atau 30 orang murid yang jumlah beratnya dalam lingkungan maksimum 40kg x 30 = 1200kg. Saya juga melihat bilangan murid yang ramai di atas sebuah jambatan gantung serentak dalam satu masa. Kalaupun bilangan murid yang ramai , takkanlah jambatan itu dibina tanpa keupayaan untuk menyerap berat yang berlebihan dalam satu masa. Tambahan pula jambatan itu masih baru dan sudah tentu dilihat sebagai masih kuat dan kukuh.


Saya ingin berkongsi pengalaman tentang jambatan gantung di kebanyakan tempat di Sabah yang banyak dibina untuk merentangi sungai2 di sana. Saya pernah menjadi jurulatih dan mengiringi kontinjen Kuala Lumpur ke perkhemahan kebangsaan unit uniform sekolah di Malangang, Kiulu Sabah. Mungkin ramai rakan2 guru dan ustaz yang tahu tempat ini. Kami juga mengadakan aktiviti berjalan malam yang memerlukan para peserta melalui jambatan gantung pergi dan balik. Bermakna, peserta perlu melalui jambatan gantung sebanyak dua kali.


Kebanyakan jambatan gantung di Sabah lebih berusia dan lebih panjang, tetapi kami bersyukur kerana tidak berlaku apa2 tragedi. Seperti sudah menjadi peraturan tanpa bertulis, melintas jambatan gantung ini ada caranya. Itupun mengikut jurulatih2 yang berasal dari Sabah. Peserta atau pelintas jambatan ini hanya dilepaskan 5-10 orang dalam satu2 masa. Selepas sampai ke seberang, barulah kumpulan lain menyusul. Itupun, setiap pelintas dilepaskan dengan jarak 2 hingga 3 meter antara mereka. Dengan panjang jambatan yang hampir atau mungkin melebihi 50 meter (rakan2 di sabah boleh betulkan anggaran ini) maka sebarang kejadian buruk dapat diatasi. Apa2 pun itu adalah kehendak Allah jua.

Dan seperti biasa guru2 akan menjadi bahan untuk diperkatakan apabila terjadi tragedi seperti ini. Berdasarkan apa yang saya pelajari serba sedikit kejuruteraan awam tentang asas dan cerucuk dan berdasarkan gambar tiang yang terbongkah, adakah kedalaman dan keluasan asas itu memadai untuk menampung berat jambatan(beban mati) + berat pengguna termasuk henjutan(beban hidup). Hanya mereka yang pakar sahaja yang mengetahuinya…………..

Mudah2an guru2 mengambil pengajaran dari tragedi ini kerana perlindungan amat jauh dari kita bila berlaku kes2 seperti ini. Oleh itu berhati2lah apabila mengiringi murid ke sebarang aktiviti di luar sekolah terutama menggunakan kenderaan sendiri. Adakah anda dilindungi…….?

Sunday, October 25, 2009

MEJA KUTUK


Ini tempat kitorang lepak sembang2 malam minggu. Seawal pukul 10 malam kitorang turun bawah. selaluinya mesti ada pemulanya. Selepas itu yang lain akan turut turun bila nampak dari atas. memang pot kitorang ni sesuai sangat. Waktu petang pun inilah juga tempat lepak kitorang.

Meja ini ada gelarannya. Kami panggil meja kutuk. Bukan meja tu terkutuk tapi ahli lepak kena tahan telinga kalau di senda gurau. Memang pedih kalau kena pada kita. Tapi selalunya ada pusingannya. Semua orang akan sampai giliran untuk gurauan.

Nombor empat dari kanan yang berselimpang baju atas bahu, itulah Adham member kitorang yang dah pindah ke Bidor, Perak. Datang untuk beraya dan berjumpa dengan teman2 lama. Lepas makan, turun dan bernostalgia di meja kutuk ni. Dia ni salah seorang ahli tetap meja kutuk suatu ketika dahulu.

Kalau nasib baik, selepas sembang2, kitorang akan pekena air buah gelas besar di Keramat atau air buah boleh tambah di Kg Baru. Lepak sampai jam satu malam baru naik rumah. Inilah kebiasaan yang akan kami buat pada malam minggu. Memang happening dan ceria bersama kekawan seperjuangan warga pendidikan.

Saturday, October 24, 2009

KENANGAN TERINDAH


Ini salah satu gambar yang diambil di bilik mandi asrama. Semua kekawan ni baru lepas beriadah waktu petang, tu yang nampak selekeh tu. Dan biasalah, bila di bilik mandi masing2 nak tayang body. Bila aku tenung balik gambar tu, ingatan aku terus menerobos zaman persekolahan. Kalau tengok gambar tu macam budak2 nakal, tapi di situlah lahirnya guru, ustaz, jurutera, doktor, pakar ekonomi, undang2 dan sebagainya. Hebatkan bebudak tu( aku dan kekawan la). Walaupun kekadang tu ada salah faham, malah bertumbuk pun ada tapi tak lah macam bebudak sekarang sampai ada yang mati.

Kes2 buli pun dulu ada. Aku pun biasa kena tapi kena yang berpada-pada la. Dan selalunya bila kena buli, aku tak melawan. Itu saje kunci untuk selamat. Bukan bermakna kita takut tapi tak nak siram minyak pada api yang dah memang tengah marak. Janganlah kita provok lagi. Akhirnya akan terhenti tanpa apa2 kejadian yang tak diingini. Buli atau ragging dulu pun untuk mengajar dan member peringatan.

Tapi kini suasananya berbeza. Masing2 nak tunjuk bagus dan hebat. Akhirnya melarat dan tak boleh lagi berfikir dengan rasional. Aku pun risau kalau ada anak yang duduk di asrama.

Tengoklah pada gambar tu. Yang ada hanyalah muka2 yang ceria dan gembira. Ada orang kalau boleh nak kembali ke zaman itu. Kalau bro Lukman senior aku pula, dia kata buat apa nak kembali ke zaman tu. Mesti terus pandang ke hadapan. Dua2 betul lah tu. Apa yang seronoknya ialah, setelah lama meninggalkan zaman itu, kita dapat bertemu kembali dan bernostalgia bersama kekawan. Cuma adakah kemesraan itu masih sama.



Ada yang dulu kurang mesra, tetapi kini menjadi rakan baik bila dah berusia ni. Ada pula dulu masa zaman sekolah, bergurau senda macam adik beradik tanpa batasan, tetiba bila dah berusia menjauhkan diri dan menyepi.

Thursday, October 22, 2009

KALAU DAH GILA!


Semalam (21 oktober 2009)dan hari ini adalah hari yang paling sibuk bagi aku. Sibuk dengan hal peribadi. Semalam laptop aku rosak. Skrin laptop aku blur tapi masih ada warna. Macam televisyen tak dapat siaran. Aku dah risau. Aduh! Kena serang virus ke. Tugasan PJJ belum siap. Dua minggu lagi nak hantar. Bertambahlah lagi risau aku.

Aku terus call pakar ict sekolah, cikgu Safari. Jumpa waktu petang di sekolah dan cuba format balik tapi tak jadi. Aku dan cikgu safari dah pening. Datang idea, cikgu safari call member dia yang lagi mahir dan terangkan situasi laptop aku. Member dia kata, kalau serangan virus tak jadi macam tu. Mungkin skrin rosak.

Apalagi, safari pun buka dan ambik otak laptop aku dan pasang kat laptop dia. Peh! Ok pulak. Dah sah skrin aku rosak. Macamana pun aku dah gelabah juga. Kalau dah tak nampak apa, macamana nak buat kerja. Balik dari sekolah petang tu, naik rumah hantar laptop, terus kayuh motor pegi lowyat. Survey laptop baru. Tapi aku bukan pandai sangat nak pilih. Aku pun baru nak celik IT.

Terus call Safari, esok( hari ini ) temankan aku pegi lowyat beli laptop baru. Ok, safari dengar lowyat setuju terus. Orang celik IT memang macam tu. Pantang pegi tempat macam tu.

Lepas balik sekolah tengahari, solat dan terus kayuh keta pegi lowyat. Sampai sana, pusing2 kat plaza imbi dahulu. Dah puas kena kencing dgn penjual kat situ baru pegi lowyat pulak. Pusing punya pusing, pilih punya pilih, dan buat discuss dengan member Safari pakar IT melalui phone. Tak boleh jadi. Kitorang buat keputusan, lebih baik beli melalui member dia. Dah tentu sah dapat barang baik. Kitorang terus balik dan tuju rumah member Safari. Lepak pekena tomyam dan minta tolong dia belikan. Untuk pengetahuan, member safari ni memang ada kedai yang dia selalu tuju dan boleh dapatkan dengan harga murah sikit. Yang penting barang baik. Tu saja.

Lepas bincang, aku hantar safari dan terus balik ke rumah, sampai petang. Aku test lagi sekali laptop aku kat rumah member kuarters. Sambung dengan monitor desktop dia. Sah, boleh keluar gambar. Apa lagi, lepas maghrib kayuh motor lagi sekali terus pegi lowyat.Dah tiga kali ulang alik ke lowyat sejak semalam. Beli LCD second jenis IBM. Kotak besar nak bawa naik motor. Satu hal lagi. Macamana nak bawa. Letak depan, payah nak control. Akhirnya aku letak belakang dan tolak dengan badan aku, himpit ke peti motor kat belakang. Ha ha lawaknya. Badan tegak semacam. Terus kayuh motor.

Lepas 200 meter bergerak dan melepasi dua traffic light, aku rasa lain macam. Aduh! Rupa2nya aku tak pakai topi keledar. Di tengah2 bandaraya, di jalan bukit bintang, di tengah2 jalan sesak, aku tak pakai topi keledar. Malunya!. Apalah kata pemandu2 yang lain tu bila tengok aku. Mat rempit pun tak buat macam tu kat jalan bukit bintang. Terus panjat ke tepi pajalan kaki dan ambik topi dalam peti belakang. Pakai dan teruskan perjalanan sampai ke rumah. Sampai rumah rehat sekejap dan terus sambung LCD ke laptop. Itulah hasilnya. Puashati, skrin besar. Esok laptop baru akan sampai.Aduh! Dah ada dua la pulak laptop. Takpa. Yang ni kira desktop la. Dalam gambar tu, hasil inovatif aku dan bilik operasi aku kat rumah.Huh! macm apa da..

Macam2 hal hari ini. Itulah kalau dah gila IT. Itu baru nak pandai sikit tu, belum pandai banyak. Hai! cikgu, cikgu…………..

Wednesday, October 21, 2009

OH! SAHABAT


Setiap orang pasti mempunyai ramai rakan, sama ada rakan lama atau rakan baru. Setiap perubahan masa bilangan rakan pasti akan bertambah dan dari pelbagai golongan. Untuk diri aku, aku boleh kategorikan rakan2 dalam beberapa kumpulan.

o Rakan sekampung (2 buah kampong)
o Rakan sekolah rendah (3 buah sekolah)
o Rakan sekolah menengah (2 buah sekolah)
o Rakan sekerja di kilang (Epson)
o Rakan Institut perguruan
o Rakan sekerja di sekolah
o Rakan hal2 bersebab

Setiap kategori rakan sangat membentuk peribadi dan persepsi aku terhadap apa yang dikatakan kawan, rakan, teman atau sahabat. Ramai juga rakan aku yang telah berjaya dalam hidup dan kerjaya masing2 dan aku sungguh bangga apabila menyentuh cerita tentang mereka. Paling tinggi dalam jawatan sektor awam sehingga berada pada gred 52
dan Jusa. Begitu juga sektor swasta dan yang bergerak dengan kerjaya sendiri seperti usahawan dan ahli perniagaan.

Namun ada juga rakan aku yang kecundang di tengah jalan angkara dadah tapi sempat berpatah kembali. Bilangannya tidaklah ramai, hanya seorang dua sahaja. Bagi aku, walau apapun warna kehidupan mereka, aku tetap menganggap mereka rakan aku tanpa ada perbezaan. Yang kurang, lebih, tertinggal, maju dan sebagainya.

Cerita pasal rakan ni, aku pernah mengalami sendiri satu peristiwa yang aku kira sangat menyentuh hati. Peristiwa tu terjadi semasa aku berniaga air minuman di bazaar Ramadhan. Masa tu aku dah jadi seorang guru tapi kebetulan bulan Ramadhan jatuh penuh dalam cuti hujung tahun, maka ramai guru mengambil kesempatan cari duit raya berniaga di bazaar Ramadhan.

Suatu hari tu, sedang aku berjual beli dengan pelanggan, aku saling berpandangan dengan seseorang yang seperti aku kenal. Oh! rupanya seorang rakan lama di sekolah menengah. Memang kami saling sangat mengenali sebab biasa bergurau senda semasa sama2tinggal di asrama. Rakan aku ni memang telah berjaya dan mempunyai firmanya sendiri. Tak perlulah aku beritau apa kerjayanya.

Selepas menegur sepatah dua dalam keadaan tergesa2, dia minta berlalu untuk ke gerai yang lain dan berjanji akan datang semula. Aku pun menunggunya sebab seronok jumpa kawan lama. Harapan aku cukup tinggi untuk bersembang dan bertanya khabar. Aku tak rasa rendah diri atau malu walaupun dia lebih berjaya dalam hidup sebab aku pun seorang guru yang hanya ambil kesempatan untuk berniaga. Lagi pun apa yang nak aku malukan.

Tunggu punya tunggu, sampai habis waktu berbuka, rakan aku ni tak muncul2. Biasanya peniaga bazaar Ramadhan akan berbuka puasa di tapak perniagaan dengan bertukar2 jenis jualan yang berbaki dengan rakan2 niaga sekitar kita. Tiba2 aku rasa sebak tapi taklah sampai menangis, kenapa rakan aku ni tak datang balik. Bukannya aku minta dia beli bahan jualan aku. Kalau aku tau dia tak datang balik, aku pasti akan titipkan sebungkus dua minuman jualan aku dan bertukar nombor telefon supaya boleh berhubung selepas itu. Apalah sangat kalau nak banding dengan harga sebuah persahabatan.

Dari peristiwa itulah, persepsi aku cukup2 negatif terhadap rakan sekolah. Tapi seorang rakan aku Roslee mula mengubah kembali persepsi itu kerana aku merasakan tiada halangan dan tembok pemisah persahabatan walau apa warna kehidupan kita sekarang. Memang hati manusia sukar untuk kita duga. Namun kini aku juga berandaian positif, mungkin rakan aku itu terlalu sibuk masa tu atau terlupa. Tetapi yang aku hairan, dia juga tak pernah lagi join kalau kitorang buat reunion atau perjumpaan semula.

Itulan secebis kisah yang menjadi pengajaran dan ingatan kepada aku supaya tidak menghampakan orang lain. Apa2 pun aku cukup gembira kini kerana dikelilingi rakan2 yang sentiasa ceria dan gembira dengan gurau senda. Apa lagi yang perlu kira cari, selain rakan yang seiring dan setara dengan kita. Kalau ada rakan yang hebat itu merupakan satu bonus kepada kita tapi bukan untuk mencari peluang dan mengambil kesempatan…..

Tuesday, October 20, 2009

SERONOKNYA JEM!


Inilah Jalan Raja Muda Abdul Aziz Kg Baru Kuala Lumpur yang aku ambil dari balkoni depan rumah aku. Jalan ni bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan pertemuan simpang menuju Jalan Chow Kit. Jalan ni salah satu alternatif untuk laluan ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Kalau musim perayaan terutamanya menjelang Aidilfitri, jalan ni akan sesak teruk kerana Chow Kit merupakan syurga membeli belah di musim perayaan.

Nak senang cerita, bukan sesak sikit tapi sesak banyak. Kalau hari biasa ok tapi sukar untuk dibaca kerana kesesakan boleh terjadi tidak mengira masa. Kalau ada sedikit sahaja masalah yang di luar jangkaan seperti kemalangan, dahan pokok patah dan sebagainya, maka kesesakan akan terjadi.

Kalau aku sedang tidur dan terdengar bunyi siren ambulan, tak perlu lihat, aku dah tau mesti jalan jem. Dan kekadang aku suka memerhatikan gelagat pemandu yang menempuh kesesakan jalan terutama pada waktu puncak. Aku bayangkan seolah2 aku yang memandu, dan sememangnya aku sudah lali dengan kesesakan jalanraya di KL.

Adakalanya bila aku lihat dari atas rumah, rasa gelihati dan seronok pun ada. Korang tengoklah kereta yang mengekori belakang ambulan tu. Kalau kita nak bersangka baik, mungkin kita boleh kata itu ahli keluarga pesakit. Bagaimana pulak kalau tiba2 saje kereta ni keluar dari barisan dan terus mengekori ambulan ni. Sudah tentu kita akan kata, pemandu ni ambil kesempatan. Aku pernah menghadapi suasana macam ni. Apa lagi aku terus halang kereta tu dari terus mengekori ambulan. Tambah2 pulak bila aku bawa kereta lama. Terkebil2 pemandu tu sebab tak dapat teruskan perjalanan mengekori ambulan tu. Teruk juga sikap aku ni kan. Kalaulah ambulan tu bawa ahli keluarganya, tentu kesian kan.

Cerita pasal jem ni lagi, pernah suatu ketika KL dilanda hujan rebut. Banyaklah jalan yang terhalang oleh banjir, dahan patah atau pokok tumbang dan kemalangan kereta semasa hujan. Maka jalan Raja Muda Abdul Aziz ni jem gila. Yang seronoknya, pelbagai jenis ambulan, kenderaan penyelamat dari Jabatan Pertahanan Awam, bomba semuanya bertali arus dua hala dan membunyikan siren untuk cepat menuju ke destinasinya.

Wah! Nampak betul2 sibuk. Masa tu pulak keempat2 lorong jem. Apalagi, mencelahlah semua kenderaan penyelamat tu ditengah2 menjadi lima lorong. Siap dengan pengumuman supaya semua kenderaan himpit ke kiri dan kanan untuk memberi laluan kepadanya. Masa nilah penunggang2 motosikal merasa lega sedikit kerana tidak perlu mencelah dan menciluk. Ikut sahaja belakang kenderaan tu. Motorsikal tak pe, jangan kereta. Kuala Lumpur oh! Kuala Lumpur…..

Monday, October 19, 2009

BERDOSANYA AKU


Aku sambung balik pasal pengalaman kerja di bengkel mencetak dan membingkai ayat Al-Quran. Bingkai ayat ni biasanya orang gantung pada dinding, pintu dan sebagainya. Kalau perkataan Assalamualaikum, dah tentu gantung pada muka pintu, ayat Kursi pun selalunya macam tu juga.Tapi yang aku nak cerita ialah kejahilan aku masa tu atau buat2 jahil. Bayangkanlah semasa mencetak ayat tu pada kaca, aku hanya berseluar pendek. Begitu juga dengan sebarang kerja yang berkaitan dengan ayat hiasan ni.

Dan ada juga aku membingkai ayat2 yang telah dicetak pada cooper dengan saiz yang besar. Bila dah siap, hasilan ini aku sandarkan pada dinding dalam bilik tidur aku di bengkel yang juga menjadi stor bingkai yang dah siap. Nak jadi cerita, ada satu bingkai ayat Al-Quran yang cukup besar, ketinggiannya hampir dengan budak berusia 12 tahun tersandar di dinding. Oleh kerana ruang yang sempit, satu malam tu, kaki aku tertolak bingkai ni. Tau apa jadi. Bingkai tu telah menghempap aku.

Sudah tentulah aku terkejut dan sakit. Tapi aku terus bangun , termenung dan berfikir. Bingkai yang mengandungi ayat Al-Quran aku tertendang dan akibatnya menimpa aku. Adakah ini kebetulan atau petunjuk kepada orang yang tidak menghormati ayat-ayat kalam Allah ini.

Banyak lagi perkara2 yang berkaitan dengan kerja ni, aku rasakan tidak menunjukkan sikap yang sepatutnya kita buat apabila melibatkan ayat2 Al-Quran. Walaupun mencetak dan menjual bingkai ayat Al-quran kelihatannya satu kerja yang baik dan murni, tapi aku tak pernah rasa seronok dan tenang dengan kerja ni. Di belakang tabir, cukup banyak dosa2 aku yang tidak diketahui oleh pelanggan yang membeli hasilan kerja aku tu.Mudah2an dosa lalu aku itu diampunkan oleh Allah…..

Sunday, October 18, 2009

RUMAH PUSAKA ATUK (1)


Inilah rumah pusaka arwah nenek dan atuk aku. Sekarang hanya ada dua orang pakcik aku yang tinggal kat sini. Teringat semasa kecik2 dulu, aku selalu datang ke sini. Masa tu keluarga aku belum berpindah ke Felda. Dan keluarga aku masa tu tinggal di Kg Attaduri, Langkap. Rumah nenek aku pulak di Chikus. Dua kampung yang berjiran.

Aku pulak cucu kedua dalam keluarga nenek aku sebelah bapa sebab ayah aku anak yang sulong. Cucu sulong sudah pastinya abang aku. Jadi, biasalah aku dan abang menjadi anak saudara yang dimanjakan suatu ketika dulu oleh pakcik2 dan makcik2 aku terutamanya makcik Midah dan makcik Noriah. Makcik midah masih tinggal di kawasan Chikus dan makcik Noriah telah berpindah ke Batang Kali mengikut suami. Bila dah berkeluarga ni selalulah juga aku menziarahi diorang. Cuma aku kesal tahun ni tak ada kesempatan untuk mengunjungi diorang. Sibuk sangat ke aku ni....

Dan ada janji aku dengan sepupu aku seorang guru J-Qaf yang masih tak tertunai. Dah banyak kali janji nak ziarah bila dia bercuti tapi tak sempat. Maklumlah sepupu aku ni bertugas di Sabah. Masa dia cuti aku sibuk. Masa aku senang dia tak balik. macam tu lah selalunya.

Dahulu kalau hari raya, selalulah aku dapat duit raya dari semua pakcik2 dan makcik2 aku.Seronok kalau dikenang zaman kanak2. Sekarang masing2 dah berkeluarga besar dan mengikut haluan masing2 di perantauan. Kebanyakannya di Selangor. Tinggallah rumah pusaka yang sepi, sunyi dan jauh dari suara kanak2. Hanya setahun sekali ada keceriaan tapi hanya dalam waktu yang sungguh singkat. Adakah ini akan berterusan selamanya.

Ada juga tergerak di hati aku untuk mengumpulkan semua ahli keluarga sebelah bapaku ini. Tapi aku tak tau dari mana aku nak mula. Mungkin sepupu aku guru J-Qaf ni boleh membantu. Selalunya cikgu banyak idea dan mudah buat kerja. Harap2 aku ada idea untuk reunion keturunan Tok Usof. Nama arwah datuk ku.

KERETA PERTAMA


Tadi aku cuba cari gambar kereta pertama yang pernah aku miliki. Cari punya cari, ada la gambar tu dalam frame. Aku cuba buka gambar tu tapi dah melekat dengan kacanya. Kalau aku buka juga, gambar tu akan rosak. Akhirnya aku tangkap gambar tu semula dengan frame2nya sekali. Ok la juga.

Memang gambar tu cukup lama dalam frame tu. Tengok la gambar anak lelaki sulong aku tu, masih kecil sedangkan sekarang telah berusia 12 tahun. Mungkin gambar tu telah berada dalam frame tu selama 7 atau 8 tahun. Latar gambar tu di rumah sewa sebelum dapat kuarters guru iaitu rumah panjang kampung Pasir Wardieburn. Sekarang semua penghuni telah dipindahkan ke PPR DBKL. Duduk di rumah panjang akan aku kisahkan pada topik yang lain.

Jadi, inilah kereta pertama aku. Selepas aku part time cuci kereta selama 6 bulan, tambah dengan duit simpanan kerja kilang dulu dan dibantu sikit duit isteri yang pernah sama2 kerja kilang dulu, dapatlah aku memiliki sebuah kereta. Kereta pertama ni amat besar ertinya pada aku masa tu. Namun akhirnya, aku telah jual kereta ni pada tahun 2001 tak silap aku, kepada seorang pegawai Felda di kampong untuk kegunaan isterinya seorang guru berulang alik ke tempat kerja. Itupun selepas aku beli sebuah kereta yang lain.

Sekali sekala bila aku balik ke kampong, aku cuba tinjau atau ronda2 pada waktu petang di kawasan perumahan pegawai Felda, dengan harapan boleh tengok kereta yang banyak berjasa pada aku ni. Menurut cerita ayah aku, pemilik baru ni telah ‘bikin’ bagi cantik lagi. Tapi itu dahulu. Sekarang aku tak pasti kereta ni masih ada lagi atau tidak. Kalau masih bergerak lagi di jalanraya, maka usianya telah menjangkau 23 tahun.

Kereta ni keluaran tahun 1984 jenis Toyota Starlet 1.3. Satu kenangan yang klasik semasa aku menggunakan. Inilah juga kereta yang aku gunakan untuk berniaga di bazaar Ramadhan pada tahun 2000. Masa tu, Ramadhan jatuh penuh dalam cuti sekolah hujung tahun. Memang masa tu ramai guru2 mengambil kesempatan berniaga di bazaar ramadhan. Itu aku akan cerita dalam topik yang lain. Ini pun ada kisah yang menarik.

Inilah satu kisah sebabak dalam hidup aku. Memang banyak pengalaman yang bila aku kenang2kan, rasa macam mimpi. Moral ceritanya, kalau kita nakkan sesuatu, InsyaAllah kita akan dapat kalau kita usahakan dan tawakal.

CARWASH DALAM KENANGAN (1)


Pencuci kereta atau nama murninya dalam bahasa Inggeris carwash meninggalkan satu kenangan dalam hidup aku. Mungkin ramai orang2 yang mengenali aku tidak mengetahui bahawa aku pernah bekerja sebagai pencuci kereta tapi bukanlah kerja tetap.

Pekerjaan ini aku lakukan sebagai part time untuk menambah atau menampung perbelanjaan hidup di kota besar suatu ketika dahulu. Kerja ini aku lakukan selama hampir dua tahun . Kalau tak silap pertengahan tahun 1998 hingga hujung tahun 1999.

Masa ni aku baru menjadi guru dan masa tu gaji seorang guru hanya cukup makan. Aku rasa aku perlukan lakukan sesuatu untuk menambah pendapatan. Matlamat aku masa tu untuk membeli sebuah kereta terpakai kerana aku sangat memerlukan kenderaan itu untuk bergerak membawa isteri dan seorang anak ketika itu. Kebetulan, seorang guru rakan sekerja membuka sebuah carwash, so aku mohon dan dia jemput aku untuk bekerja dengannya.

Memang nasib menyebelahi aku sebab aku mengajar sesi pagi dan boleh pulang ke rumah jam 1 petang. Berehat dan jam 6 petang aku mula bergerak ke tempat kerja part time tu. Maka bermulalah episod aku sebagai pencuci kereta bersama dua orang lagi rakan guru. Tak lama selepas itu dua rakan guru ni berhenti. Yalah, mereka masih bujang, dan part time ni hanya suka2 dan mencuba sesuatu yang baru.

Nak jadikan cerita, rakan guru tokeh carwash ni nak berhenti dari guru kerana dapat satu peluang yang baik dan beberapa sebab yang tak boleh didedahkan, so dia jual tapak carwash ni pada seorang tentera yang mencari peluang bisnes. Maka aku meneruskan part time ni bersama tokeh baru. Bermula dari hari pengambilalihan bisnes tu, aku berjumpa dan berkenal pula dengan gang2 tentera.

Sampai sekarang hubungan aku masih baik terutamanya Mohamad, orang Tanjung Malim yang kini tentera berpangkat sarjan di kem terendak. Khabarnya tak lama lagi akan berpencen dan telah membeli rumah di kampong asalnya. Seorang lagi Saiful yang dipanggil cepoi, orang Terengganu, Kopral di kem Kementah. Ada lagi beberapa orang gang mat terap yang aku dah lupa namanya.

Aku akan sambung cerita ni lain kali, kisah suka duka part time sebagai pencuci kereta. Pengalaman yang kadang2 mencuit hati dengan gelagat rakan sekerja, pelanggan dan aktiviti kami selepas tamat waktu kerja terutamanya malam minggu. Memang happening .Tunggu…..

Friday, October 16, 2009

MENDUNG YANG BERARAK


Suatu ketika dulu, sebelum mendapat kerja tetap di kilang Epson, aku juga pernah bekerja di sebuah bengkel membuat (mencetak dan membingkai) ayat-ayat Al-Quran untuk hiasan. Dalam erti kata sebenar bukanlah bengkel tetapi kedai kerana hanya ada tiga orang pekerja sahaja. Semua pekerja adalah kekawan kampong dari Besout kerana tokeh kedai ni ada ikatan persaudaraan dengan salah seorang rakan aku ni. Banyak kemahiran yang aku dapat di sini.

Semua bahan yang telah siap, bos kitorang akan edarkan di kedai2 sekitar lembah kelang. Dalam seminggu pula ada tiga kali kami buka gerai di pasar malam yang akan kami gunakan untuk memasarkan barang yang dihasilkan ini. Dan ada ketikanya bos kami akan buka gerai di pesta2 yang terkenal seperti pesta konvokesyen di Universiti2 awan, pesta pameran dan sebagainya. Gambar di atas dirakamkan semasa pameran dan jualan di pesta Bukit Cerakah, Shah Alam suatu ketika dulu.

Cerita pasal gerai, kami pernah buka gerai jualan di pesta konvo UKM. Disinilah aku berjumpa kembali semenjak kali terakhir zaman persekolahan dengan rakan2 aku seperti anjang, mahdi, ikram, dan ramai lagi. Tapi pertemuan ini dalam suasana yang berbeza. Mereka semua siswa universiti tapi aku hanya seorang pekerja bengkal merangkap penjual sekali. Memang terharu sungguh aku masa tu. Mungkin terharu kerana perbezaan ini melebihi terharu berjumpa kawan lama. Teringat aku lagu rock kapak dendangan kumpulan Kris bertajuk Tiara. Anjang, ingat tak lagi peristiwa tu. Agak2 tahun bila ye.

Apa2 pun masa tu aku control macho, buat2 happy walaupun dalam hati hanya tuhan saja yang tahu. Namun aku kuatkan semangat dan tidak menyesal dengan semua itu kerana aku percaya ada sesuatu yang lebih besar akan Tuhan kurniakan kepada aku sekiranya aku bersabar. Aku memang lambat tapi aku akan kejar apa yang aku tertinggal. Alhamdulillah, memang benar dan aku merasainya sekarang. Oh! Bersyukur aku dengan segala kurniaan……..

Mungkin gabungan daripada kemahiran yang aku dapati sebagai pekerja industri atau kilang dan bengkel mencetak dan membingkai ni mempengaruhi bidang perguruan yang aku ceburi sekarang. Sebab itu pentadbir menaruh kepercayaan untuk aku mengajar subjek kemahiran hidup sebagai minor subjek di sekolah. Sedangkan major aku adalah Matematik. Sehinggalah aku menyambung pengajian PJJ juga dengan major Kemahiran Hidup. Agaknya aku memang ada bakat kut…. Kalau ada rezeki, lepas ni KH akan menjadi subjek major aku untuk diajar di sekolah.

Aku sangat bersyukur kepada Allah dengan kurniaan ini. Aku gunakan kemahiran ini semasa masuk rumah baru aku. Semua lampu dan kipas aku pasang sendiri. Hanya dengan asas yang sedikit tentang elektrik sebagai guru KH aku memberanikan diri memasang semua peralatan elektrik ini. Alhamdulillah, semuanya menjadi.

EPSON DALAM KENANGAN (2)


Teringat suatu ketika dulu semasa kerja di kilang Epson. Sudah pastilah kilang yang aktif pengeluarannya seperti Epson akan beroperasi 24 jam. Ini memerlukan pekerja, bekerja dengan sistem shif. Ada shif pagi, petang dan malam. Pagi bermula jam 7 pagi hingga 3 petang, seterusnya 3 petang hingga 11 malam dan 11 malam hingga 7 pagi semula.

Kalau bekerja shif pagi dan separuh petang, kita tidak berpeluang untuk bermalas2 kerana bekerja dengan bos2 waktu normal 8 pagi hingga 5 petang. Termasuklah juga bos2 orang Jepun. Cara kerja orang Jepun amat pantas dan tekun. Sebab itulah mereka dapat membina semula negara mereka dengan cepat selepas kalah dalam perang dunia kedua. Pengalaman bekerja dengan orang jepun memberi inspirasi kepada aku untuk maju ke hadapan seperti lagu kumpulan rock kapak SYJ, Pandang ke Timur.

Tapi gambar tu tak menunjukkan aku yang rajin. Masa ni aku bekerja shif malam dan sudah pastinya gambar ini dirakamkan dalam lingkungan jam 3 hingga 4 pagi. Waktu2 yang sangat menguji ketahanan mata untuk celik. So, aku cari pot baik punya di bahagian yang terlindung dan zzzzzz. Dalam gambar tu aku baru bangun tidur kerana dikejutkan oleh sorang gewe kelate yang aku anggap sebagai kakak.

"Cukup2 lah tu tidur, gi tengok mesin nu", katanya.

Sambil terkebil2, bangunlah aku dari tidur. Bukan tidur betul2 pun. Tidur2 ayam je. Tapi tidur waktu shif malam ni bukanlah satu kebiasaan. Kalau tak ada lot (gelaran untuk cips atau material yang diproses) atau mesin dalam proses dan tak ada mood untuk mengenyeh(mengacau pekerja wanita)aku pun tido la. Selalunya shif malam memberi satu kelebihan kepada pekerja lelaki untuk menggatal(boleh kut pakai perkataan ni). Nisbah pekerja lelaki dengan wanita 1 : 20. So, saham lelaki amat tinggi.

Aku tak pasti kakak gewe kelate ni masih bekerja lagi di Epson atau sudah berhenti. Tapi selalunya pekerja wanita akan berhenti apabila telah bertemu dengan jodoh masing-masing. Apa2 pun kenangan bersama korang semua amat seronok dan manis. Kenangan yang sukar untuk didapatkan kembali. Aku harap kepada pekerja2 Epson yang masih mengenali aku dan masih berkhidmat di Epson, aku ucapkan selamat maju jaya. Korang semua adalah pekerja dan pejuang yang tabah...

Thursday, October 15, 2009

ADIK IPAR KU OGHE KELATE



Mungkin ada yang hairan kenapa aku post dua gambar yang tak ada kaitan antara satu sama lain. Sebenarnya apa yang aku nak ceritakan ada kaitannya. Ini adalah cerita sebenar yang diceritakan oleh adik ipar aku. Begini.....

Kereta tu adalah kepunyaan adik lelaki aku yang dalam gambar tu. Adik aku bernikah dengan isterinya, orang Pasir Mas, Kelantan. So, aku mempunyai sorang adik ipar orang Kelantan dan sesatunya orang kelantan yang jadi ahli keluarga aku. Kampung adik ipar aku ni sama la macam tempat-tempat lain di Kelantan, kebanyakan orang kampungnya penyokong parti yang memegang tampuk perintahan kerajaan negeri di Kelantan. Sudah tentu dilabel sebagai lebih Islamik dari tempat-tempat lain.

Tengoklah kereta adik aku tu. Dia punya make-up betul2 garang. Macam tu la keadaan kereta tu sejak dia bujang. Masa tu memang ada trend penggemar kereta ala2 rally. Tapi pak mentua adik aku tak boleh terima design kereta macam tu. Yalah, mungkin malu pada orang2 kampung seolah2 nampak macam menantunya ganas disebabkan keadaan kereta macam tu.

Kalau kita di bandar, mungkin tak jadi hal. So, selepas menikah, pak mentua adik aku tu nasihatkan menantunya supaya ubah atau buang stiker2 yang nampak ganas tu. So, dengan ringan hati(simpulan bahasa baru) yang terpaksa, adik aku pun buanglah semua stiker tu dan jadi standard balik macam kereta2 yang lain. Maklumlah, dah anak orang tu kau kebas, pandai2 la ambik hati orang tua tu balik.

Itu baru bab kereta.Banyak lagi hal2 lain yang adik aku kena ikut, bila bercuti di sana. Tapi kebanyakannya yang positif la. Ibarat masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau kena telan. Tapi memang banyak yang eloknya sejak adik aku nikah dengan orang Kelantan ni. Akhirnya bersatulah dua keluarga dari pantai barat dan pantai timur. Anak penyokong pemerintah kerajaan negeri dan anak penyokong pemerintah kerajaan pusat. Pepaham aje la kan. Itu semua tidak menjadi halangan kerana Islam adalah sama tanpa mengira fahaman politik.

Gambar kedua tu pulak, keluarga diorang masuk ke dusun atau ladang tinggal diorang di pinggir hutan yang masih dara dan fresh. Aku tak pegi tapi tengok gambar pun dah tau mesti seronok. Tengoklah petai yang fresh tu. Teringat aku dengan pekan Bidor atau Tapah di Perak yang terkenal dengan hasil petainya.

Wednesday, October 14, 2009

SAHABAT YANG JAUH


Satu lagi gambar yang mengimbau kenangan lama semasa menuntut di Izzuddin. Masa cuti sekolah, aku dan gang pergi bercuti di rumah seorang rakan kelas iaitu rumah Abdul Basit di Parit Buntar.

Abdul Basit ni adalah anak saudara Mufti Perak Tuan Haji Harussani.Ayah Basit merupakan abang kepada Mufti Perak ni. Dalam gambar tu dari kiri, Anjang, Basit, ayahanda kepada Basit dan Samsul Busra lulusan sebuah Universiti di Jordan yang kini menjadi mudir sebuah sekolah tahfiz di Tapah yang diwarisi daripada ayahandanya. Abdul Basit dan Anjang pula guru di tempat asal masing-masing.

Aku tak pasti apa agenda kitorang semasa pergi ke rumah Basit ni. Mungkin kami memang rapat maka keputusan untuk berziarah menjadi mudah. Yang pastinya aku lihat ayahanda Basit ni memang seorang yang banyak ilmu agamanya. Sememangnya keluarga mereka terdiri dari orang2 yang mendalami agama seperti Mufti Perak yang sangat disegani. Keluarga Basit merupakan keturunan Melayu Banjar yang sangat tekun mengerjakan suruhan agama dan penyebaran ilmu syariah dan usuluddin.

Bila menyentuh pasal mufti perak ni, aku cukup sedih kerana sejak kebelakangan ini orang2 yang berkepentingan dalam politik telah memperlecehkan Mufti kerana merasakan beliau berpihak kepada musuh politik mereka. Sedangkan aku merasakan Mufti ni sangat neutral dan tidak berpihak. Kalau nak katakan berpihak, aku cukup kenal dengan ahli keluarganya yang sangat menyokong satu parti siasah politik yang memperlecehkan mufti ni. Aku rasa cukuplah setakat ni. Tak berani nak cakap lebih2, takut tersalah cakap.

Namun aku dah lama tak jumpa dengan Basit. Lebih 20 tahun yang kali terakhir selepas SPM. Dua orang rakan lagi tu ada berjumpa terutamanya anjang. Mungkin faktor masa dan lokasi yang jauh belum membantu kami untuk bertemu.

Tuesday, October 13, 2009

KUALA LUMPUR OH KUALA LUMPUR



Dalam aku dok belek gambar2 lama, terjumpa la gambar ni. Jadi aku pun nak kongsi la dengan korang semua. Gambar ni nampak macam biasa, tak ada apa yang istimewa, setiap tahun pasti kita lihat di kaca tv. Tapi jadi istimewa sebab inilah pandangan dari balkoni belakang kuarters aku. Betul2 pandangan lepas kepada klcc. Jadi kalau ada pertunjukan bunga api pada malam sambutan merdeka atau tahun baru, family aku hanya perlu buka pintu belakang tempat jemuran kain.

Berdentum aja kat klcc, maka berdentum juga la apa yang ada dipaparkan dalam tv. Inilah satu lagi keistimewaan tempat tinggal aku. Kalau ikut potongan elaun rumah dan separuh cola hanya RM330 tapi nilainya jauh lebih rendah kalau menyewa premis yang lain. Kalaulah kuarters aku ni premis swasta, pasti sewaannya lebih seribu ringgit.

Kalau di bahagian balkoni depan, pandangannya adalah menara KL, PWTC atau bangunan UMNO dan Istana Budaya. Oh! memang indah panorama kota, lebih2 lagi selepas hujan sebab pandangan akan cerah dan bersih dari jerebu.

Sayangnya ini bukan rumah kepunyaan aku. Hanya kuarters yang menjadi tumpangan selagi aku berkhidmat di Kuala Lumpur. Agak2nya macammana la kalau aku berpindah atau bertukar ke tempat lain nanti. Kalau ada insan yang tinggal sekejap atau lalu saja pun dah jadikan lagu Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur, aku merindui mu sebagai lagu kenangan.....Inikan pulak aku yang lebih sedekad tinggal di tengah2 pusat bandaraya.

Monday, October 12, 2009

TENIS, DEDIKASI UNTUK ADHAM



Inilah jenis riadah yang aku pilih sekarang. Dah 10 tahun aku main permainan ni. Itupun sebab ada kod tenis lama zaman Tun Ghafar Baba yg terletak dalam kawasan SK Jalan Raja Muda. Kuarters aku ni pun asalnya terletak dalam kawasan sekolah. Seminggu sekali pada malam Sabtu kitorang akan main di kod tenis DBKL Taman tasik Titiwangsa.

Cerita pasal tenis, inilah permainan yang berhantu macam peminat golf, snooker dan sebagainya. Ada satu cerita pasal ketagihan ni. Ada sorang kawan baik aku, Adham bin Idris guru SK Perluk, Sungkai. Anjang mesti tau sekolah ni. Adham ni dulu duk kuarters sini juga tapi lewat masuk. Kemudian dia join main tenis dgn kitorang dan memang dia berbakat dlm permainan ni sehinggalah dapat main untuk PSKPP wakil Kuala Lumpur. Ia berlanjutan dgn menjadi jurulatih dan pengiring budak2 MSSMKL ke sebarang kejohanan.

Kerana tenis, Adham sanggup membatalkan pertukaran suami isteri ke Perak walaupun dah diluluskan untuk tahun 2008. Pertukaran ni sebab dia dah buat satu rumah banglo di Kg Poh Bidor. Pembatalan ini berjaya dibuat. Tahun 2008, isteri Adham minta kebenaran membuat satu lagi permohonan pindah. So, kawan aku dgn konfiden minta isterinya onlinekan utk dia sebab dia tau takkan diluluskan kononnya dah blacklist.

Nak jadi cerita, hujung 2008, permohonan pertukaran diluluskan. Kawan aku ni dah tepuk dahi. Takkan nak batalkan lagi sekali. Kang mengamuk pulak org kat Putrajaya tu nak layan hal dia aje. So, dia terimalah keputusan tu dgn berat hati. Sebab ape aku kata berat hati. Penglibatan dia dalam permainan tenis di peringkat negeri sudah terlampau jauh. Penglibatan dia dalam tenis yang dah jauh melangkah tak pernah disangka. Walaupun dia kenal tenis bersama aku tapi kesibukan aku menyebabkan dia lebih menonjol dan aku pun cukup bangga dgn pencapaian dia.

Selepas balik kampung tahun ni, bermulalah episod baru dalam hidupnya yang semakin jauh dari permainan tenis. Untuk bermain, dia terpaksa membuat perjalanan ke Tapah kerana di Bidor tak ada kod tenis.

Kitorang pulak, selepas ketiadaannya, masih terus bermain tetapi terasa ada sesuatu yang hilang. Hilangnya seorang sahabat yang sama2 menghidupkan keceriaan kuarters dan permainan tenis di sini.Dalam gambar adalah rakan2 permainan yang mengenali Adham. Pulanglah Adham. Kuala Lumpur oh Kuala Lumpur, aku merindui mu......

LITAR F1 SEPANG


Ini satu lagi pengalaman yang sangat berharga dalam hidup aku sebab bukan semua orang berpeluang. Masa ni aku jadi marshal trek untuk motorcycle grand prix dunia tahun 2003. Peluang itu datang sekali dalam hidup aku, itupun kerana rezeki terpijak menggantikan seorang rakan yang sakit.

Oleh kerana aku menggantikan orang lain maka aku dapat buat lesen untuk marshal yang dikeluarkan oleh AAM secara sementara. Nak masuk sini pun kena ada kroni juga, tu pasal aku kata peluang yang sekali lalu. Lalu aku pun rebut peluang tu. Bro lukman mesti tau undang2 trek sebab dia banyak menganjurkan atau menjadi orang kuat cub-prix di negara kita.

Marshal trek ni tugasnya ialah menolak motor pelumba yang terbabas. Tu saje. Nampak senang, tapi kalau tak betul teknik akan memalukan negara sebab ditayangkan secara langsung di seluruh dunia. Nasib baik pada hari sebenar tu tak ada apa2 berlaku di bahagian aku. Tapi masa hari latihan ada sorang pelumba terbabas di stesyen aku. So, aku dan kumpulan di stesyen mengheret motor yang dah rosak Cara heret tu salah. Esoknya, taklimat pagi telah ditegur oleh Ketua Marshal.

Mula2 jaga memang seronok tapi masuk hari kedua badan dah tak boleh menampung kepenatan yang teramat sangat. Bayangkan bangun pukul 4 pagi supaya sampai di litar sepang sebelum pukul 8 pagi. Masuk trek dgn dihantar oleh lori(mcm lori lembu daa)ke setiap stesyen dan bermula tugas sehingga 6 petang selama tiga hari berturut2 sehingga hari Ahad perlumbaan sebenar. Jgn tanya kewajipan agama. Langsung tak buat. Nak buang air besar jadi masalah besar. Kena panggil runner utk ambil kita sejauh 1-2KM pergi tandas. Buang air kecil sebalik susunan tayar di tepi trek. Nasib baik stesyen aku tak ada penonton di bahagian belakang.

Hari sabtu, sampai rumah terus tertidur. Tengah malam isteri aku kejut. Melompat aku terus bangun mandi dan bersiap dgn pakaian untuk ke litar sepang. Orang rumah aku gelak. Aku tak paham apasal. Tengok jam rupanya pukul 11 malam. Aku ingat 5 pagi. Itulah kalau dah penat sangat. Apa2 pun itulah pengalaman sekali seumur hidup yang cukup berharga. Kalau orang lain kata seronok pergi Sepang tengok perlumbaan, aku akan kata, aku pernah baring dan tidur kat atas litar tu...........