Sunday, April 4, 2010

BUMI PERMATA 3 : Cikgu Norliah Saad

Darjah 5 Merah bersama guru kelas, cikgu Norliah Saad pada tahun 1982

P & P bersama guru Matematik

Cikgu Norliah Saad di hadapan kediaman guru yang disediakan oleh Felda


Lama rasanya aku tak memblog. Aku sendiri pun hairan dengan sikap aku. Pada mulanya dulu memang terasa nikmatnya kalau dapat meluahkan atau menebarkan rasa hati di ruangan ini. Tapi semangat tu semakin luntur bermula awal tahun ni. Sehinggalah Cikgu Norliah, guru sekolah rendah aku dahulu memberi mesej yang dalam maksudnya walaupun dalam bahasa yang santai.

Memang benar, rasa hormat aku terhadap mentor aku ni, mendorong aku untuk gagahkan jari menaip beberapa patah perkataan. Cikgu Norliah yang menggunakan nickname Cikgu N dalam shoutbox adalah bekas guru aku semasa aku dalam darjah lima di Sekolah Rendah Kebangsaan Besout. Ketika itu darjah 5 adalah tahun penting kerana dijalankan peperiksaan penilaian yang setara dengan UPSR pada hari ini.

Cikgu N, posting di Besout pada tahun 1981 kalau tak silap. Maka batch aku adalah muridnya yang pertama dan terawal. Itu juga menunjukkan bahawa batch aku adalah muridnya yang tertua yang kini dalam lingkungan 39 tahun. Dan dalam usia aku yang hampir menginjak 40 tahun, cikgu N masih gagah memberi didikan di sebuah sekolah di sebelah utara. Pastinya usia cikgu N hampair menjangkau 50 tahun kalaupun tidak melebihi.

Setelah hampir 27 tahun tak pernah mendengar khabar berita, tanpa aku sangka dapat berhubung semula dengan guru aku ni. Kisah awalnya adalah melalui laman sembang facebook. Itupun disebabkan seorang rakan sekelas aku semasa darjah 5 yang juga terputus hubungan dalam jangkamasa yang sama, menemui laman aku dan mencadangkan menghubungi cikgu N melalui lamannya. Baru sekejap tadi juga seorang lagi rakan aku semasa sekolah rendah iaitu Faridah Saad menghantar mesej untuk pengesahan. Nampaknya hubungan rakan lama dan bekas guru di sekolah rendah semakin bertaut kembali tetapi dalam suasana yang berbeza. Maklumlah masing-masing sudah melangkaui pertengahan usia.

Sungguh aku tak sangka dapat berhubung semula dengan rakan lama dan bekas guru, walaupun sekadar di alam maya. Maka dari sinilah perhubungan itu terus berkembang kepada rakan-rakan yang lain. Aku juga dapat merasakan aktiviti pendidikan cikgu N yang masih terus segar dan gagah melalui laman blognya. Kekadang aku sendiri terasa malu kerana aku yang juga bergelumang dengan dunia pendidikan kekadang terasa kalah sebelum berjuang.

Teringat suatu ketika dahulu, apabila aku tak hadir ke sekolah dalam beberapa hari kerana masalah kesihatan, dan pada suatu hari tu cikgu N bersama seorang rakan guru menziarahi aku di rumah tanpa disangka-sangka. Dan pada hari yang lain cikgu N memberi kelas tambahan secara percuma untuk aku seorang sahaja di rumah kediamannya yang disediakan oleh Felda untuk mengganti hari2 yang aku tertinggal. Itulah semangat guru-guru zaman dahulu. Kalau tanya kepada aku tentang semangat macam ni, rasanya tak sampai ke tahap tu lagi. Murid tak datang lebih seminggu pun , aku hanya bertanya kepada rakan murid itu sahaja dan setakat itu sahaja kemampuan aku. Untuk mengganti hari yang tidak hadir, rasanya jauh sekali.

Untuk kesekian kalinya, setelah hampir 30 tahun, aku ingin meluahkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada cikgu N yang mungkin tidak sempat aku ucapkan sebelum ini kerana mendidik aku sehingga sekurang-kurangnya aku 'menjadi orang'. Malah kemahiran Matematik yang diajar dahulu aku aplikasikan pula kepada murid-murid aku sekarang. My Cat Dislike My Dog Hong Kong. Inilah akronim yang diajar pada aku untuk mengingat sistem metrik bagi ukuran panjang yang kini masih relevan diaplikasikan kepada murid aku walaupun telah merentasi hampir 30 tahun. Tentu cikgu N masih ingat.

3 comments:

  1. waah...masih simpan gambar lama...

    ReplyDelete
  2. Saya dan arwah cikgu Norliah nampak potensi yg awak boleh berjaya lebih drp seorang peladang sawit sebab tu dia beriya beri tumpuan. Tahun 1982 awak dar.5

    ReplyDelete
  3. Haha...Tq cikgu, kesian ladang dah serah kepada Felda uruskan.

    ReplyDelete