Tuesday, April 20, 2010

KONVOI PERDANA





Kalau suatu perancangan itu diatur dari awal, banyak halangan yang boleh menggagalkannya. Walaupun kita tahu pelan yang baik perlu ada supaya setiap yang dirancang dapat mencapai matlamatnya.


Maka bermulalah konvoi kami iaitu gang2 kuarters pendidikan untuk beriadah keluar dari kesibukan Kuala Lumpur. Tempat yang dituju ialah Kalumpang Resort yang terletak di Hulu Selangor. Resort yang berhampiran dengan bandar Tanjong Malim ini memang popular dan sesuai untuk seisi keluarga bermalam di pinggiran banjaran Titiwangsa.


Memang seronok bagi anak-anak bermandi-manda di sungai yang bersih airnya dan resort ini juga mempunyai kolam renang yang menggunakan air sungai yang dialirkan secara terus menerus.


Malamnya, kaum bapa menyiapkan makan malam ala BBQ. Yang bagusnya, kolam renang atau kolam mandi di sini boleh digunakan pada waktu malam. Anak-anak seronok menyambung aktiviti berendam pada waktu malam.


Selepas bermalam di sini, tanpa di rancang keesokannya konvoi kami meneruskan perjalanan mendaki banjaran titiwangsa. Destinasi yang dituju, Cameron Hinghland. Niat asal untuk turun pada hari yang sama. Tapi badan yang penat menyebabkan kami berpakat untuk menginap di Cameron Hinghland. Tambahan pula ada permintaan dari kaum ibu yang teringin nak bermalam di sini. Nak merasa kesejukan udara pada waktu malam. Dapatlah penginapan di Tanah Rata sebab di Berinchang semua hotel penuh kerana musim cuti sekolah agaknya.


Malam di sini, kami jalan-jalan cari makan di pasar malam di Berinchang tapi yang ada, ha! ha! hanyalah sayur-sayuran saja. Balik ke Tanah Rata singgah di restoran untuk cari makan. Semua orang dah lapar.


Keesokannya, kami check out awal menuju ke Berincang untuk belian akhir dan terus turun melalui Simpang Pulai. Semalam, kami naik melalui Tapah. Sebelum tu kami singgah di ladang Boh untuk merasa teh di tepi ladang. Tak ada yang istimewa. Lebih sedap kalau buat sendiri di rumah.


Singgah rumah rakan lama di Bidor kerana jemputan makan tengahari walaupun terlewat sehingga jam 3 petang. Rakan lama yang dahulunya pernah mendiami kuarters ini juga sama2 berkonvoi ke Kalumpang Resort dan Cameron Hinghland tapi turun pada hari yang sama.

Selepas makan dan berehat seketika, konvoi diteruskan untuk pulang ke Kuala Lumpur. Badan penat tapi berbaloi. Poket pun dah hampir kering. Hua hua hua.

Sunday, April 4, 2010

BUMI PERMATA 3 : Cikgu Norliah Saad

Darjah 5 Merah bersama guru kelas, cikgu Norliah Saad pada tahun 1982

P & P bersama guru Matematik

Cikgu Norliah Saad di hadapan kediaman guru yang disediakan oleh Felda


Lama rasanya aku tak memblog. Aku sendiri pun hairan dengan sikap aku. Pada mulanya dulu memang terasa nikmatnya kalau dapat meluahkan atau menebarkan rasa hati di ruangan ini. Tapi semangat tu semakin luntur bermula awal tahun ni. Sehinggalah Cikgu Norliah, guru sekolah rendah aku dahulu memberi mesej yang dalam maksudnya walaupun dalam bahasa yang santai.

Memang benar, rasa hormat aku terhadap mentor aku ni, mendorong aku untuk gagahkan jari menaip beberapa patah perkataan. Cikgu Norliah yang menggunakan nickname Cikgu N dalam shoutbox adalah bekas guru aku semasa aku dalam darjah lima di Sekolah Rendah Kebangsaan Besout. Ketika itu darjah 5 adalah tahun penting kerana dijalankan peperiksaan penilaian yang setara dengan UPSR pada hari ini.

Cikgu N, posting di Besout pada tahun 1981 kalau tak silap. Maka batch aku adalah muridnya yang pertama dan terawal. Itu juga menunjukkan bahawa batch aku adalah muridnya yang tertua yang kini dalam lingkungan 39 tahun. Dan dalam usia aku yang hampir menginjak 40 tahun, cikgu N masih gagah memberi didikan di sebuah sekolah di sebelah utara. Pastinya usia cikgu N hampair menjangkau 50 tahun kalaupun tidak melebihi.

Setelah hampir 27 tahun tak pernah mendengar khabar berita, tanpa aku sangka dapat berhubung semula dengan guru aku ni. Kisah awalnya adalah melalui laman sembang facebook. Itupun disebabkan seorang rakan sekelas aku semasa darjah 5 yang juga terputus hubungan dalam jangkamasa yang sama, menemui laman aku dan mencadangkan menghubungi cikgu N melalui lamannya. Baru sekejap tadi juga seorang lagi rakan aku semasa sekolah rendah iaitu Faridah Saad menghantar mesej untuk pengesahan. Nampaknya hubungan rakan lama dan bekas guru di sekolah rendah semakin bertaut kembali tetapi dalam suasana yang berbeza. Maklumlah masing-masing sudah melangkaui pertengahan usia.

Sungguh aku tak sangka dapat berhubung semula dengan rakan lama dan bekas guru, walaupun sekadar di alam maya. Maka dari sinilah perhubungan itu terus berkembang kepada rakan-rakan yang lain. Aku juga dapat merasakan aktiviti pendidikan cikgu N yang masih terus segar dan gagah melalui laman blognya. Kekadang aku sendiri terasa malu kerana aku yang juga bergelumang dengan dunia pendidikan kekadang terasa kalah sebelum berjuang.

Teringat suatu ketika dahulu, apabila aku tak hadir ke sekolah dalam beberapa hari kerana masalah kesihatan, dan pada suatu hari tu cikgu N bersama seorang rakan guru menziarahi aku di rumah tanpa disangka-sangka. Dan pada hari yang lain cikgu N memberi kelas tambahan secara percuma untuk aku seorang sahaja di rumah kediamannya yang disediakan oleh Felda untuk mengganti hari2 yang aku tertinggal. Itulah semangat guru-guru zaman dahulu. Kalau tanya kepada aku tentang semangat macam ni, rasanya tak sampai ke tahap tu lagi. Murid tak datang lebih seminggu pun , aku hanya bertanya kepada rakan murid itu sahaja dan setakat itu sahaja kemampuan aku. Untuk mengganti hari yang tidak hadir, rasanya jauh sekali.

Untuk kesekian kalinya, setelah hampir 30 tahun, aku ingin meluahkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada cikgu N yang mungkin tidak sempat aku ucapkan sebelum ini kerana mendidik aku sehingga sekurang-kurangnya aku 'menjadi orang'. Malah kemahiran Matematik yang diajar dahulu aku aplikasikan pula kepada murid-murid aku sekarang. My Cat Dislike My Dog Hong Kong. Inilah akronim yang diajar pada aku untuk mengingat sistem metrik bagi ukuran panjang yang kini masih relevan diaplikasikan kepada murid aku walaupun telah merentasi hampir 30 tahun. Tentu cikgu N masih ingat.