Friday, December 11, 2009

GURU JADI KERANI SEKOLAH?

(Artikel ini diambil dari ruangan forum Utusan Malaysia bertarikh 10 disember 2009 tanpa sebarang suntingan dan perubahan)

SAYA merujuk maklum balas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Alimuddin Md. Dom terhadap tulisan saya di Forum Utusan Malaysia yang bertajuk Erti Sebenar Guru Cemerlang.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana barangkali saya tidak menulis secara jelas tentang apa yang saya maksudkan dengan beban kerja perkeranian dalam tulisan itu. Biar saya jelaskan lebih lanjut tentang ‘beban kerja perkeranian’.

Contoh pertama: Tugas guru kebajikan dan biasiswa. Saya berpendapat, semua guru, terutama sekali guru tingkatan ialah guru kebajikan. Sebab itulah banyak hal peribadi murid yang mengganggu pembelajaran mereka ada dalam pengetahuan guru. Ibu bapa bercerai, ibu bapa bergaduh, ayah dibuang kerja, ibu lari dari rumah, semuanya diadukan kepada guru. Itu tak mengapa. Jika sedikit tepukan di bahu dan mengesat air mata murid boleh membantu mereka belajar, saya fikir tiada guru yang merungut.

Tetapi guru biasiswa, lain pula ceritanya. Mereka perlu membuat salinan borang, mengedarkan borang, mengutip semula borang dan memastikan semua borang diisi dengan betul, termasuk memastikan semua salinan dokumen sokongan lengkap, seperti salinan kad pengenalan dan sebagainya. Sebelum semua ini bermula, mereka perlu mencari murid yang miskin untuk diberi bantuan biasiswa. Ada banyak jenis biasiswa untuk murid sekolah dan semuanya ada syarat layak yang tertentu, tetapi secara umumnya murid yang keluarganya mempunyai pendapatan kurang daripada seribu ringgit sebulan, layak mendapat bantuan.

Soalnya, tidak bolehkah kerja mengenal pasti murid dan semua ‘kerja-kerja kertas’ itu dibuat oleh kerani? Apa kaitan pengurusan biasiswa yang banyak melibatkan kertas itu dengan kerja guru yang sebenar, iaitu P&P?

Contoh kedua: Saya fikir hampir semua guru sedar bahawa bagi orang-orang politik, semua masalah sosial negara perlu diselesaikan di sekolah. Benar, sekolah memang tempat mendidik, tapi apakah setiap kali ada masalah kita hendak buat satu persatuan atau kelab baru. Tugas guru ialah mendidik murid membezakan apa yang salah dan apa yang betul dan kita mengajar mereka supaya berfikir sendiri. Kita tidak boleh sebut satu-satu ‘merempit salah’, ‘hisap dadah salah’ atau ‘mencuri salah’, kerana ada terlalu banyak kerja jahat dalam dunia ini. Kita perlu ajar murid berfikir sendiri.

Tetapi apabila kita menghadapi masalah mengatasi jenayah, guru diminta membuat satu kelab antijenayah. Bila ada masalah dadah pula, kita buat pula kelab antidadah, seolah-olah masalah dadah bukan jenayah yang tidak boleh digabung dengan antijenayah. Kemudian kita dapati murid kita tidak sayang kepada negara, kita buat pula kelab kenegaraan, seolah-olah Persatuan Sejarah sudah gagal. Kita boleh buat 100persatuan dan kelab pun mengikut kehendak masyarakat luar, tetapi siapa yang hendak membuat kerjanya? Mengadakan persatuan bukan semata-mata berkumpul dan membuat aktiviti. Guru perlu menyiapkan laporan, mendaftar persatuan, mengambil gambar, membuat perancangan tahunan. Ini semua ‘kerja-kerja kertas’. Mengapa tidak boleh hantar pegawai polis atau pegawai dari Biro Tata Negara (BTN) datang menguruskan persatuan ini di sekolah? Datanglah setiap hari Sabtu misalnya, untuk aktiviti ini.

Contoh ketiga: Guru data. Tugas guru ini ialah merekodkan hal perjawatan guru, misalnya, tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh temuduga, tarikh sah jawatan, tangga gaji, kursus dan sebagainya. Oleh kerana tugas merekod ini berat, maka guru-guru Data biasanya dikurangkan waktu mengajar, kepada 12 hingga 15 waktu daripada biasanya 25-29 waktu untuk guru-guru lain (setiap waktu ialah 40 minit di sekolah menengah dan 30 minit di sekolah rendah). Masalahnya, guru-guru data ini merekodkan perkara yang Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran sudah tahu, contohnya, tarikh-tarikh penting seperti tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh sah jawatan. Bukankah surat datang dari SPP?

Contoh keempat: Guru tingkatan. Guru tingkatan ialah antara orang yang paling sakit kepala di sekolah kerana semua guru-guru lain bekerja melalui guru tingkatan. Guru biasiswa hendak edar borang, suruh guru tingkatan. Sekolah hendak cuti, guru tingkatan perlu edar surat. Guru SPBT hendak edar buku teks, guru tingkatan perlu uruskan. Murid kemalangan, hendak mohon insurans, guru tingkatan juga perlu uruskan. Guru Penolong Kanan kokurikulum hendak maklumat kokurikulum murid, pun suruh guru tingkatan, bukan suruh guru persatuan atau kelab. Murid tidak datang sekolah, guru tingkatan perlu hantar surat amaran. Kelas tak ada penyapu, pun guru tingkatan kena belikan. Kadang-kadang kalau kelas kotor, cikgulah yang kena menyapu walaupun sekolah ada tukang sapu swasta. Kalau pegang kelas baik, tak apa. Tapi kalau dapat kelas belakang, memang guru boleh kena serangan jantung.

Sekarang ini syukurlah kita ada sistem online yang mengumpul data peribadi murid yang kita panggil Sistem Maklumat Murid (SMM). Seorang guru dilantik menjaga SMM ini. Jika guru data menjaga maklumat guru, guru SMM menjaga maklumat murid. Tetapi, walaupun SMM sudah ada, guru tingkatan masih perlu mengisi kad 001. Untuk apa, saya pun tidak tahu. Setiap tahun, guru yang memegang kelas tingkatan 1 perlu menyiapkan kad 001 seawal bulan Februari atau Mac. Tetapi selepas itu tiada siapa yang hendak mengurus kad 001 itu, sebab hampir semua keperluan maklumat murid akan diambil dari SMM. Jika kita ada setengah juta murid baru masuk ke tingkatan satu, ada setengah juta lagi murid baru masuk darjah satu. Jika harga kad 001 itu satu ringgit, kita membelanjakan satu juta ringgit untuk kad 001 yang tidak digunakan pun.

Ini duit siapa satu juta ini? Dan hal menguruskan kad 001 itu, tenaga siapa kalau bukan guru?

Contoh kelima: Guru perabot. Bila ada masalah perabot sekolah, guru ini kerjanya mengangkut kerusi meja yang rosak dan mengira berapa banyak perlu dihapuskan, berapa banyak perlu mohon yang baru, dan berapa banyak boleh dibaiki. Adakah semua ini membantu murid meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah sebagaimana disebut oleh KPPM dalam tulisannya? Barangkali KPPM tidak pernah nampak rupa guru bermandi peluh turun naik tangga mengangkut perabot, ada yang ringan, ada yang berat. Saya pernah nampak; macam buruh yang kerja membuat bangunan.

Saya tidak nafi, di luar negara pun amalannya ialah melantik guru akademik membuat kerja pentadbiran. Tapi berapa banyak kerja pentadbiran yang mereka ada? Adakah sampai memakan masa 70-80% masa kerja? Saya pernah melawat sekolah di luar negara, dan Guru Besar mereka pun mengajar hampir separuh daripada masa kerja dan membuat kajian tindakan. Adakah Guru Besar dan Pengetua kita membuat kajian tindakan? Setahu saya, hanya negeri Johor mewajibkan semua guru membuat kajian tindakan, itupun ramai yang membuat kajian ‘depan komputer’ kerana kesuntukan masa.

Akuilah, kerja pentadbiran memang sudah mengganggu tugas hakiki guru kita. Kalau tidak mengapa Menteri Pelajaran sejak Datuk Hishamuddin bercakap tentang beban kerja guru?

Mengapa Menteri Pelajaran pernah menyebut tentang institut latihan guru sukan, supaya guru akademik tidak perlu lagi membuat tugasan kokurikulum, sebagai usaha mengurangkan beban kerja guru?

Adakah Menteri Pelajaran tanpa latar belakang pendidikan lebih sedar hakikat di sekolah berbanding KPPM yang pernah menjadi guru? dan mengapa perlu ada Standard Guru Malaysia (SGM) jika kita sudah ada Tonggak 12, kalau bukan kerana guru kita sudah terpesong dari apa yang digariskan dalam Tonggak 12, dek kerana kerja-kerja perkeranian ini? Atau adakah SGM dibuat supaya lebih banyak ‘kerja-kerja kertas’ dibuat oleh guru

Monday, December 7, 2009

GURU BUKAN SEKADAR MENDIDIK

(Artikel ini diambil dari ruangan forum Utusan Malaysia bertarikh 7 Disember 2009 tanpa sebarang suntingan atau perubahan)

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia 3 Disember 2009 bertajuk Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran: Erti sebenar guru cemerlang.

Kenyataan 'Guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua atau guru besar mereka', adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.

Kenyataan Akmal Fairuz dalam Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.

Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga.

Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid.

Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlet muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid.

Oleh itu, latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua atau guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa.

Guru mempunyai kelebihan daripada aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak atau remaja dan kepakaran dalam pedagogi.

Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.

Berkaitan dengan pandangan Akmal Fairuz bahawa guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan.

Tidak salah guru berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua atau Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.

Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat, selaras dengan gagasan '1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sunday, December 6, 2009

ALAHAI GURU!



Respon pada sebuah artikel yang disiarkan dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009.

Lihatlah sendiri pada gambar yang aku postkan ni. Dan korang nilai dan ulaslah sendiri.

Gambar ni aku ambil secara kebetulan, aku lalu di kelas dan terlihatlah seorang guru yang juga kawan baik aku sedang memanjat meja atau kerusi untuk membetulkan dan menyemak LCD. Kebetulan guru ni adalah guru yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga inventori bahan2 dan alatan2 yang bersangkutan dengan ETEMS.

Ini baru salah satu tugas dalam pelbagai lagi tugas guru. Guru perempuan. Kalau guru lelaki macam aku, bancuh simen pun aku pernah buat. Kodin, kau nilai dan tafsirkanlah sendiri.

Apa2pun, aku cukup bangga jadi seorang guru

Saturday, December 5, 2009

ERTI SEBENAR GURU CEMERLANG

(Artikel ini diambil dari ruangan forum Utusan Malaysia bertarikh 3 Disember 2009 tanpa sebarang suntingan atau perubahan)

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.
Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.